mutakhir

Bot karam, seorang nelayan asing maut

Oleh Siti Sofia Md Nasir

SEORANG nelayan asing maut dalam kejadian bot karam di perairan Pulau Pinang dekat Georgetown, pagi tadi.

Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Hamizan Harun berkata, bot nelayan dipercayai dari Indonesia itu ditemui Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor yang dalam perjalanan ke Langkawi untuk menyertai Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2019 (LIMA ‘19).

Beliau berkata, bot dinaiki tiga nelayan itu ditemui dalam keadaan separuh tenggelam oleh bot Maritim Johor, KM Satria, kira-kira 10.25 pagi.

“KM Satria kemudian menghampiri bot berkenaan untuk menyelamatkan semua nelayan terbabit.

“Bagaimanapun, seorang nelayan, Firman Amirudin, 23, meninggal dunia dipercayai akibat terkena letupan enjin bot,” katanya dalam satu kenyataan.

Hamizan berkata, dua lagi mangsa, Ibrahim Ismail, 59, dan Sopian Mohamad, 42, berjaya diselamatkan dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beliau berkata, maklumat awal daripada kru yang terselamat mengatakan bot berkenaan menghadapi masalah hingga berlaku letupan di ruang enjin yang mengakibatkan bot bocor.

“Semua mangsa yang berasal dari Acheh kemudian dipindahkan ke bot Pasukan Polis Marin (PPM) dan dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut dan mayat juga dibawa ke HPP untuk bedah siasat.

“Siasatan lanjut kejadian itu masih dijalankan. Orang awam diminta melaporkan sebarang kejadian kecemasan di laut di talian kecemasan 24 jam iaitu MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146,” katanya.

Disiarkan pada: March 24, 2019 @ 4:35pm
d