mutakhir

'Mohon maaf atau kami ambil tindakan'

Oleh Nurul Fhatihah Zakinan

INDIVIDU yang menularkan video memfitnah kerajaan Melaka kononnya mengeluarkan arahan mengusir pengayuh beca pada program terjunan ekstrem ‘Taming Sari Tower Base Jump 2019’ di Menara Taming Sari, Bandar Hilir, malam tadi, digesa memohon maaf.

Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, kerajaan negeri menuntut permohonan maaf daripada lelaki itu yang juga pengayuh beca kerana dakwaan itu sama sekali tidak berasas.

“Saya akan ambil tindakan jika lelaki berkenaan masih terus tularkan video memburukkan kerajaan negeri tanpa asas.

“Kerajaan negeri tidak pernah mengeluarkan arahan supaya mereka beredar, dan saya tidak tahu ia arahan siapa. Kemungkinan adalah pihak polis trafik kerana ia di bawah kuasa mengawal lalu-lintas dan keselamatan,” katanya.

Rakaman video berdurasi dua minit 30 saat yang memaparkan seorang lelaki berdepan dengan anggota polis trafik mendakwa dihalau sambil menyebut nama Ketua Menteri, Adly Zahari dan Exco yang didakwa mengeluarkan arahan mengosongkan laluan termasuk pengayuh beca malam tadi.

Muhammad Jailani berkata, pihaknya kecewa dengan tindakan lelaki terbabit kerana seolah tidak menghargai usaha dibuat kerajaan bagi membantu pengayuh beca menjana pendapatan di kawasan pelancongan berkenaan.

Sementara itu, Pengurus Besar Menara Taming Sari, Muhammad Md Nor sudah membuat laporan polis di Balai Polis Melaka Tengah, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu.

“Ketika kejadian, polis trafik sedang mengawal lalu-lintas bagi majlis perasmian program oleh Ketua Menteri bersama Exco Pelancongan. Anggota sudah memberi arahan kepada pengunjung supaya memberi laluan sementara orang kenamaan tiba selain atas faktor keselamatan.

“Bagaimanapun, arahan itu tidak diendahkan pengayuh beca yang cuba melintasi Jalan Plaza Mahkota ke Menara Taming sedangkan laluan itu dibuka kembali seperti biasa selepas ketibaan orang kenamaan,” katanya.

Disiarkan pada: March 24, 2019 @ 8:03pm
d