mutakhir

Pelajar UTeM maut nahas

Oleh Nur Saliawati Salberi

SEORANG pelajar lelaki Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terbunuh selepas kereta dipandunya terbabit kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Parit Melana-Belimbing Dalam dekat Alor Gajah, petang tadi.

Kejadian kira-kira 3.35 petang itu mengakibatkan Muhamad Shakirin Muhamad Subri, 20, yang memandu Perodua Viva meninggal dunia di lokasi kejadian akibat tersepit.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, sebelum kejadian mangsa dipercayai dalam perjalanan dari Alor Gajah menghala Durian Tunggal manakala lori membawa muatan sawit itu dari arah bertentangan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai hilang kawalan sebaik tiba di lokasi kejadian menyebabkan kereta itu terbabas dan memasuki laluan bertentangan sebelum berlanggar dengan lori dipandu lelaki berusia 42 tahun.

“Akibat perlanggaran itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah, Pegawai Bomba Kanan II Roslan Manas berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.42 petang sebelum tujuh anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, sebaik tiba di tempat, bomba mendapati terdapat seorang mangsa tersepit di bahagian tempat duduk pemandu akibat bahagian hadapan kenderaan itu remuk.

“Bomba mengambil masa kira-kira 20 minit bagi mengeluarkan mangsa selain terpaksa menggunakan pemotong hidrolik.

“Bagaimanapun, tiga individu termasuk pemandu yang menaiki lori terselamat. Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Disiarkan pada: March 24, 2019 @ 8:43pm
d