mutakhir

PRK Rantau: Lebih 1,000 anggota PDRM siap sedia

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

LEBIH 1,000 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, bulan depan.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Negeri Sembilan, Asisten Komisioner Samad Yahya berkata, pihaknya sudah bersiap siaga dari segi keselamatan, lalu lintas dan lain-lain perkara yang sewajarnya dilaksanakan.

Menurutnya, segala persiapan termasuk latihan pengendalian pilihan raya dan atur gerak anggota sudah dilaksanakan.

“Ini bukan pertama kali buat kontinjen Negeri Sembilan kerana kami sudah berdepan PRK Parlimen Port Dickson pada Oktober tahun lalu. Jadi kita jalankan tugas seperti pilihan raya terdahulu.

“Kita tidak ada masalah untuk bekerjasama dengan masyarakat kerana ia sudah terjalin dengan polis khususnya menerusi pelbagai program yang dianjurkan sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perbarisan Peringatan Hari Polis Ke-212 di Sekolah Latihan Kontinjen Negeri Sembilan di Seremban, hari ini.

Selain itu, Samad berharap calon, penyokong dan pengundi mematuhi undang-undang, peraturan, serta arahan ditetapkan polis sepanjang tempoh PRK itu.

Beliau juga menyeru masyarakat supaya tidak menimbulkan sebarang provokasi dan berkempen dengan matang serta menggunakan media sosial dengan sebaiknya.

PRK DUN Rantau diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 18 Februari lalu menolak petisyen difailkan Datuk Seri Mohamad Hasan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban, pada 16 November tahun lalu yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi DUN Rantau terbatal dan tidak sah.

Susulan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan PRK DUN Rantau diadakan pada 13 April depan.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Rantau
  • Disiarkan pada: March 25, 2019 @ 10:44am
    d