mutakhir

Polis ambil keterangan kakak mangsa rogol, liwat

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

KAKAK kandung mangsa yang juga isteri suspek kes rogol, liwat dan pukul seorang wanita, Jumaat lalu, sudah diambil keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, wanita berusia 24 tahun itu ditahan semalam.

Bagaimanapun, wanita itu dibebaskan dengan jaminan polis kerana sedang sarat mengandung lapan bulan.

“Keterangan awal wanita itu sudah diambil sebelum ini. Malah, wanita itu turut ditahan semalam kerana dipercayai bersubahat dalam kejadian rogol, liwat dan pukul terhadap adiknya oleh suaminya.

“Namun, dia dibebaskan dengan jaminan polis selepas didapati sedang sarat mengandung lapan bulan. Bagaimanapun, dia akan dipanggil semula untuk membantu siasatan kes berkenaan,” katanya ketika ditemui di Majlis Sambutan Hari Polis ke-212 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, di Kajang, hari ini.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan seorang lelaki ditahan Sabtu lalu, selepas dipercayai merogol, meliwat dan memukul adik iparnya berusia 18 tahun sejak dua tahun lalu.

Ahmad Dzaffir sebelum ini dilaporkan berkata, mangsa dipaksa melakukan hubungan seks dengan suspek sejak dia berusia 16 tahun.

Difahamkan mangsa yang tinggal bersama kakak kandungnya itu didapati mengandung lapan minggu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 376/ 377D /324 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merogol, meliwat dan memukul.

Disiarkan pada: March 25, 2019 @ 11:58am
d