mutakhir

Hafarizam tukar penjamin

Oleh Murni Wan Omar

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, membenarkan penjamin kepada penasihat undang-undang UMNO, Datuk Mohd Hafarizam Harun yang didakwa atas dua tuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM15 juta ditukar.

Hakim Azman Ahmad membenarkan permohonan itu selepas peguam Datuk Hasnal Rezua Merican yang mewakili Mohd Hafarizam memberitahu mahkamah berhubung kedudukan Aisha Mubarak yang sebelum ini menjadi penjamin anak guamnya.

Hasnal berkata, pihaknya memohon untuk menukar penjamin selepas Aisha Mubarak tidak lagi menjadi rakan kongsi dalam firma Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak (HWAM).

Oleh itu, pihaknya memohon supaya penjamin ditukar kepada Noor Arlisma Zainul Ariff.

Mahkamah membenarkan permohonan itu dengan mengekalkan syarat dan jumlah jaminan terdahulu.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ishak Mohd Yusoff memohon supaya mahkamah menetapkan tarikh bagi kedua-dua pihak mengadakan sesi sidang sebelum perbicaraan (PTC) bagi membincangkan perkara berbangkit.

Pembelaan tidak mengemukakan sebarang bantahan.

Mahkamah menetapkan 24 April ini untuk sebutan semula kes.

Pada 21 Februari lalu, Mohd Hafarizam, 47, mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram dengan memasukkan cek berjumlah RM15 juta milik bekas Perdana Menteri ke dalam akaun firma guaman miliknya.

Mohd Hafarizam didakwa membabitkan diri secara langsung dalam dua transaksi hasil aktiviti haram dengan memasukkan dua keping cek AmIslamic Bank Berhad berjumlah RM11.5 juta milik Mohd Najib Razak ke dalam “client account” firma guaman miliknya, Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak (HWAM) di CIMB Bank Berhad.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di CIMB Bank cawangan PWTC, Suite 1, Level 5, Menara Datuk Onn, Jalan Tun Ismail, di sini, antara 16 April dan 4 November 2014.

Mohd Hafarizam turut didakwa membabitkan diri secara langsung dalam transaksi hasil aktiviti haram dengan memasukkan sekeping cek AmIslamic Bank Berhad berjumlah RM3.5 juta milik Najib ke dalam “Client Account” firma miliknya, di tempat sama, pada 12 Februari 2015.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, jika sabit kesalahan.

Disiarkan pada: March 25, 2019 @ 1:47pm
d