mutakhir

Asing sisa pepejal pelihara alam sekitar [METROTV]

Oleh Mohd Roji Kawi

KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sedang meneliti pendekatan sesuai untuk menggalakkan masyarakat luar bandar menjadikan pengurusan sisa pepejal yang bersistematik sebagai amalan.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, ia antara perancangan dalam Pelan Harapan Pembangunan Luar Bandar bagi memastikan kesejahteraan, ketenteraman dan keselamatan penduduk kampung dari pencemaran alam sekitar.

Beliau berkata, tumpuan utama program kesedaran pengurusan sisa pepejal itu akan diberikan di penempatan luar bandar yang tidak termasuk dalam kawasan tanggungjawab pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kini KPLB sedang meneliti kampung yang akan dipilih sebagai projek rintis pengurusan sisa pepejal itu dan hasil yang diperolehi dari kampung terbabit akan menjadi garis panduan untuk kita memperluas program itu ke semua kawasan luar bandar.

“Kita akan melaksanakan projek rintis itu dalam masa terdekat dan menyasarkan pelaksanaan lebih menyeluruh sebelum hujung tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perasmian Kampus Institut Kemajuan Desa (INFRA) di Kota Samarahan, hari ini.

Rina berkata, menerusi pengurusan sisa pepejal yang bersistematik, penduduk kampung digalakkan untuk mempraktikkan pengasingan sampah dari rumah.

“Penduduk juga digalakkan mewujudkan tapak pengumpulan sampah, melaksanakan projek pembentungan, pengairan serta perparitan secara efisien,” katanya.

Katanya lagi, pencemaran alam sekitar yang berlaku di Pasir Gudang, Johor baru-baru ini harus menjadi iktibar semua pihak untuk bersama membantu menangani sebarang kegiatan yang menjurus kepada masalah berkenaan.

Justeru katanya, pemimpin masyarakat perlu bertindak segera jika menerima maklumat berkaitan sebarang aktiviti pencemaran alam sekitar di kawasan mereka.

Disiarkan pada: March 25, 2019 @ 4:48pm
d