mutakhir

Jaga sensitiviti masyarakat

Oleh Nur Saliawati Salberi

PENGEDARAN arak percuma secara terbuka di pasar malam Jonker Walk, Melaka, tidak sepatutnya berlaku, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Laksamana, Low Chee Leong

Low berkata, pihak yang bertanggungjawab melakukan perkara itu sepatutnya perlu mengambil kira sensitiviti masyarakat serta pengunjung di kawasan itu.

Menurutnya, tindakan itu juga seolah-olah tiada nilai sensitiviti agama dan mengundang kritikan masyarakat.

Katanya, perkara itu sepatutnya tidak berlaku, apatah lagi ia dilakukan di hadapan gereja, selain boleh menjejaskan keharmonian kaum.

“Insiden ini sepatutnya tidak berlaku, terutama ketika musim cuti persekolahan kerana destinasi itu menjadi tumpuan pelancong, termasuk mereka yang beragama Islam.

“Saya mengkritik perbuatan penganjur yang hanya mementingkan kutipan bayaran tanpa mengambil kira nilai sensitiviti masyarakat,” katanya ketika dihubungi wartawan Harian Metro.

Beliau berkata, tindakan penarikan lesen terhadap penganjur perlu diambil oleh dilakukan oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

Sementara itu, Datuk Bandar MBMB Datuk Mansor Sudin berkata, sekumpulan lima pegawainya sudah menjalankan siasatan di lokasi pagi hari ini.

Beliau berkata, kegiatan itu didapati dijalankan di hadapan gereja di Jalan Kubu, Melaka.

“Kami dimaklumkan promosi minuman keras itu mendapat kebenaran daripada Pertuduhan Jawatankuasa Pengurusan Jonker Walk selama dua hari daripada 23 hingga 24 Mac.

“Siasatan lanjut mendapati promosi itu tidak mendapat sebarang kebenaran daripada MBMB dan Pejabat Daerah Melaka Tengah,” katanya.

Mengulas lanjut, Mansor berkata, tindakan undang-undang akan diambil kepada penganjur kerana mengadakan promosi minuman keras itu tanpa kebenaran.

“MBMB mendapati penganjur Pasar Malam Jonker Walk melanggar syarat lesen ditetapkan.

“Kes disiasat mengikut Undang-undang Kecil 5(2), UUK Pasar Malam/Sehari, MBMB 2010,” katanya.

Disiarkan pada: March 25, 2019 @ 8:04pm
d