mutakhir

Mana mahu lari

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

LELAKI direman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kejadian merempuh kenderaan polis pada 17 Mac lalu di Kompleks Yayasan Ibu Tunggal, Chendering, Kuala Terengganu.

Perintah reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret/Sesyen Kuala Terengganu, Roszita Md Saad bagi membolehkan siasatan lanjut mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Menurut sumber, kejadian dipercayai berlaku kira-kira 1.30 pagi ketika tiga anggota Balai Polis Chendering menjalankan tugas rondaan cegah jenayah sebelum menerima aduan mengenai kekecohan yang berlaku di kawasan kompleks berkenaan.

Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian, anggota ternampak kereta Perodua Kancil dalam keadaan mencurigakan.

“Anggota memberhentikan kereta Proton Wira (kenderaan milik polis) di hadapan kereta berkenaan untuk membuat pemeriksaan.

“Bagaimanapun, pemandunya melarikan diri dengan bertindak merempuh pintu hadapan kenderaan polis itu di sebelah pemandu.

“Suspek kemudian mengundur keretanya dan merempuh pintu belakang kereta Proton Wira sebelum melarikan diri,” katanya.

Katanya, kejadian itu menyebabkan pintu kanan di bahagian hadapan dan belakang kenderaan peronda itu rosak.

“Semua anggota tidak mengalami sebarang kecederaan sebelum satu laporan dibuat di Balai Polis Chendering,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek berusia 29 tahun.

Katanya, suspek yang positif methamphetamine adalah pemilik kenderaan berkenaan dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Disiarkan pada: March 25, 2019 @ 8:27pm
d