mutakhir

Putrajaya tak sama dengan Jalan TAR

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

“KITA faham setiap perubahan ada kenaikan, cuma kali ini kurang munasabah. Kenaikan kadar sewa itu agak keterlaluan dan tinggi,” kata Datuk Johan Masdar, wakil peniaga Festival Ramadan Putrajaya 2019 yang akan berlangsung di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, peniaga merasakan kenaikan kadar sewa lebih 30 peratus berbanding tahun lalu begitu membebankan sedangkan saiz ruang niaga pula dikurangkan berbanding tahun sebelumnya.

“Pada tahun ini, kadar sewa dikenakan bermula RM3,500 hingga RM5,500 membabitkan ruang niaga berkeluasan 10 kaki x 10 kaki dan 20 kaki x 20 kaki dengan ruang yang mempunyai pendingin hawa dan tidak ada pendingin hawa untuk tempoh 35 hari bermula 1 Mei ini.

“Perbadanan Putrajaya (PPj) sudah memberikan penjelasan mengenai perkara ini sebab sebelum ini mereka yang anjurkan sendiri tetapi tahun ini (diuruskan) penganjur acara (lain),” katanya selepas menyerahkan nota bantahan kepada PPj bersama 10 peniaga lain, hari ini.

Beliau berkata, festival yang berlangsung di hadapan Istana Kehakiman, Presint 3 itu membabitkan tapak jualan di tiga bahagian iaitu Anjung Syawal, Kiblat Walk dan Laman Iftar manakala kebanyakan peniaga yang hadir pada pertamuan hari ini ialah peniaga di Anjung Syawal dan Laman Iftar.

Johan mendakwa kadar sewa di tapak festival itu pernah dinaikkan dua tahun lalu bermula RM1,000 dan peniaga memahami keadaan itu memandangkan sebelum itu, acara berkenaan dianjurkan sendiri oleh PPj.

“Apabila penganjur acara (lain) menguruskan acara ini, kos bertambah dan kita faham tetapi biarlah kos itu dipastikan munasabah kepada peniaga,” katanya.

Pada masa sama, katanya, terdapat aktiviti yang tidak diperlukan pada festival berkenaan hingga menyebabkan kos bertambah hingga membebankan peniaga.

“Misalnya, pada Ramadan nanti, ada pentas utama untuk aktiviti di luar dan kita merasakan ia tidak perlu. Cukuplah program dalaman kerana apabila bertambah aktiviti terutama membabitkan pentas utama, ia meningkatkan kos dan membebankan penyewa,” katanya.

Johan berkata, isu dihadapi peniaga terbabit tidak boleh disamakan dengan perniagaan di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) di Kuala Lumpur atau Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Shah Alam.

“Tak boleh samakan sebab kawasan itu memang untuk berjual-beli sedangkan Putrajaya ialah Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan semata-mata, jadi kenaikan sewa itu kurang berpatutan.

“Kita tidak boleh buat perbandingan seperti itu kerana orang tak kisah bayar sehingga mencecah RM28,000 sekali pun jika di Jalan TAR untuk sewaan, sebab kawasan itu adalah lubuk emas,” katanya.

Disiarkan pada: March 25, 2019 @ 10:10pm
d