mutakhir

SPRM serah kertas siasatan minggu depan

Oleh Faliq Lajim

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyerahkan kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya berkaitan kes pembayaran cek RM1.4 juta kepada editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown selewat-lewatnya minggu depan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, laporan kertas siasatan itu kini sudah di peringkat akhir.

“Saya sudah berbincang dengan pegawai penyiasat dan laporan diterima adalah kes ini di peringkat akhir siasatan.

“Kita ada membuka beberapa kertas siasatan tetapi kita akan dikemukakan dahulu kepada Pendakwa Raya.

“Saya sudah mengarahkan pegawai penyiasat paling lewat minggu depan untuk dibincangkan dan mendapat sebarang arahan berhubung kes berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perasmian Kompleks baharu SPRM Selangor di Shah Alam, hari ini.

Ketika ditanya sama ada individu lain daripada parti PAS akan dipanggil, Azam menegaskan beliau tidak mahu membuat sebarang spekulasi mengenainya.

“Saya tidak mahu membuat spekulasi apa-apa. Siasatan masih diteruska dan mana-mana kertas siasatan yang siap, saya sudah arah kemukakan cepat kepada pendakwa raya untuk mendapatkan keputusan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Rewcastle-Brown mengesahkan beliau menerima cek RM1.4 juta sebagai sebahagian daripada persetujuan untuk menyelesaikan saman difailkan Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang terhadapnya di luar mahkamah pada Februari lalu.

Bagaimanapun, Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang menafikan membuat pembayaran berkenaan sama ada daripada pihak parti mahu pun dirinya sendiri.

Disiarkan pada: March 26, 2019 @ 1:11pm
d