mutakhir

Peruntukan besar naik taraf sekolah daif

Oleh Hairul Azim Mahmood dan Fairul Asmaini Mohd Pilus

KERAJAAN memperuntukkan RM552.1 juta untuk menaik taraf dan membangunkan semula 153 sekolah daif di Sabah.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata, sehingga Februari lalu, ia diagihkan menerusi peruntukan pembangunan dan Inisiatif Kewangan Persendirian (PFI).

Katanya, kerajaan sentiasa berusaha menyediakan prasarana pendidikan yang kondusif untuk pelajar dan guru di semua sekolah di seluruh negara termasuk Sabah.

“Bagi 2018 sahaja, kelulusan untuk menaik taraf 120 sekolah daif dilaksana membabitkan kos RM429 juta, malah setakat Februari lalu, 73 sekolah sudah siap dinaik taraf dan digunakan.

“Baki 47 sekolah lagi masih dalam peringkat pelaksanaan dan dijangka siap April ini,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) yang ingin tahu sama ada Kementerian Pendidikan berhasrat melawat sekolah daif di Sabah dan rancangan menaik taraf bangunan sekolah itu.

Mengulas lanjut, Maszlee berkata, lawatan ke sekolah daif akan dilakukan pengurusan tertinggi kementerian dan pegawai pelbagai peringkat termasuk Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia.

Katanya, beliau secara peribadi turut memantau sekolah daif, manakala perkembangan kemajuan projek diteliti menerusi Mesyuarat Susulan Jemaah Menteri pada setiap minggu.

“Selain itu kita juga memantau sekolah yang memerlukan penyelenggaraan, yang mana pada Januari hingga Mac lalu, pemantauan dibuat ke atas tiga sekolah di Tawau, dua di Kota Kinabalu dan lapan di Semporna,” katanya

Disiarkan pada: March 26, 2019 @ 2:27pm
d