mutakhir

'Keluarga mahu cari maahad tahfiz lain'

Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

PELAJAR tahfiz di Taman Seri Damai Aman, Kuantan yang didakwa didera tenaga pengajarnya, sudah diserahkan semula kepada keluarga masing-masing.

Pengarah Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) Pahang, Zulkhairi Zainal Abidin berkata, tindakan itu adalah hasil intervensi sosial dilakukan oleh Pegawai Pelindung Kanak-Kanak JKM.

“Keluarga pelajar mahu membawa pulang anak masing-masing kerana bimbang akan keselamatan mereka.

“Kami dimaklumkan keluarga pelajar akan mencari maahad tahfiz yang berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) untuk menempatkan anak mereka bagi menyambung semula pembelajaran mereka,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam dilaporkan 19 pelajar berusia lapan hingga 15 tahun menjadi mangsa dera tenaga pengajarnya yang dikenali sebagai Ustaz Zainal.

Kejadian disedari selepas seorang daripada pelajar itu mengadu kepada bapanya pada 16 Mac lalu, mendakwa sering dirotan, dipukul dan dicubit sejak mengikuti pembelajaran di pusat tahfiz berkenaan.

Ada juga pelajar mendakwa pernah dicium di mulut oleh ustaz terbabit, dengan maahad tahfiz itu beroperasi di sebuah surau di taman perumahan terbabit yang diubah suai sebagai asrama dan tempat belajar.

Zulkhairi berkata, pihaknya membuat lawatan naziran ke pusat tahfiz itu, 20 Mac lalu dan mendapati ia sudah tidak berpenghuni tetapi semua peralatan masih dalam keadaan tersusun.

Katanya, pihaknya akan merujuk semua pelajar berkenaan kepada unit kaunseling JKM dalam masa terdekat.

Berita berkaitan

Ustaz dera 19 murid

[UPDATE] Ustaz kerap tengking, pukul, mencubit murid

Disiarkan pada: March 26, 2019 @ 2:49pm
d