mutakhir

[UPDATE] Kejutan duka yang memilukan [METROTV]

Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

TIADA seorang pun ahli keluarga mengetahui rancangan Nor Hasidah Asbullah untuk pulang bercuti ke rumah ibunya di Felcra In-Situ Hulu Berang, Terengganu dan arwah dipercayai mahu membuat kejutan.

Malangnya, kejutan itu menjadi berita duka yang memilukan buat ahli keluarga wanita berusia 32 tahun itu apabila dia meninggal dunia bersama dua anak, Nur Auni Athirah Kamaruddin, 8, dan Muhammad Iffat Rizqi, 2.

Mereka terbabit kemalangan di Kilometer 55, Jalan Nenasi-Rompin dekat Pekan, 9.45 pagi hari ini.

Ibu Nor Hasidah, Gayah Mat Aruf, 54, berkata, sudah menjadi kebiasaan anaknya itu untuk memaklumkan kepada dia jika mahu pulang ke kampung.

“Malangnya hari ini dia tidak beritahu saya apa-apa pun. Ketika melihat gambar kemalangan yang ada kanak-kanak iras cucu, Nur Auni Athirah tular di WhatsApps yang ditunjukkan rakan, hati saya berdebar tiba-tiba.

“Ketika itu, saya cuba menghubungi Hasidah tetapi panggilan tidak berjawab. Saya kemudian menghubungi anak lain dan mereka hanya meminta supaya saya berdoa semoga semuanya selamat.

“Pada 12 tengah hari barulah saya tahun yang Hasidah dan dua cucu saya sudah tiada. Ia sangat menyentak hati dan hilang kata-kata dibuatnya,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Pekan.

Dalam kejadian itu, suami Nor Hasidah, Kamaruddin Mohd Zin, 33, serta seorang lagi anak mereka, Nur Syadni Syakirah, 3, parah dan kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan.

Bercerita lanjut, Gayah berkata, Nur Auni Athirah dan Muhammad Iffat Rizqi sememangnya rapat dengannya dan akan ‘berkepit’ dengannya setiap kali pulang ke kampung.

“Mereka selalu kata mahu berjalan dengan ‘Tok Wan’ (Gayah) dan langsung tidak menghiraukan ibu ayahnya (apabila di kampung). Mereka memang manja dengan saya.

“Kali terakhir saya berjumpa mereka pada Februari lalu apabila menantu menghantar pulang orang tuanya ke rumah mereka di Marang tetapi ketika itu mereka tidak menunjukkan sebarang kelainan,” katanya.

Sementara itu, ibu Kamaruddin, Selmor Salleh, 61, pengsan disebabkan terlalu terkejut selepas dimaklumkan kejadian yang menimpa menantu dan cucunya.

Katanya, Kamaruddin sebelum ini pernah pulang ke kampung tanpa memberitahunya tetapi tetap memaklumkan adik-beradiknya yang lain.

“(Hari ini) Tiada seorang pun anak-anak saya tahu yang Kamaruddin mahu pulang. Mungkin dia mahu membuat kejutan namun ia akhirnya bertukar menjadi sesuatu yang menyedihkan,” katanya.

Jenazah tiga beranak itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Felcra In-Situ Hulu Berang, malam ini.

Berita berkaitan

Tiga beranak maut kemalangan

Disiarkan pada: March 26, 2019 @ 6:35pm
d