mutakhir

Latihan singkat pun memukau... [METROTV]

Oleh Salman Hamat dan Hamzah Osman

LATIHAN singkat bukan halangan bagi juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melakukan penerbangan aerobatik memukau pada pertunjukan udara sempena pembukaan Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA ‘19) di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), di Langkawi, yang membuka tirai semalam.

Kecekapan juruterbang TUDM terbukti apabila mereka mempersembahkan aksi melayang dan menjunam umpama ‘helang menyambar’ pada pertunjukan udara sepanjang pameran dwitahunan itu mendapat pujian pengunjung.

Antara aset TUDM yang terbabit dalam pertunjukan udara ialah Sukhoi Su-30MKM, F/A-18D Hornet, Hawk 108/208, Airbus A400M, Pilatus PC-7 MK II, helikopter EC725 dan Sikorsky S61A-4.

Mejar Azman bin Hassan, 37, @ JayJay, dari 11 Skuadron menerbangkan pesawat pejuang Su-30MKM mengetuai formasi penerbangan pada majlis pembukaan berkata, mereka melaksanakan latihan secara berperingkat bermula di Pangkalan Udara Butterworth sebagai persiapan sebelum ke Langkawi.

“Tempoh latihan enam hari memang singkat, tetapi ia sudah memadai bagi kami sebagai juruterbang pesawat pejuang yang terlatih untuk melakukan pertunjukan seperti yang direncanakan.

“Ilham pertunjukan dicetuskan sendiri Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Affendi Buang, manakala Markas Pemerintahan Operasi Udara diberi tanggung jawab untuk merancang dan melaksanakannya,” katanya.

Mejar Mohd Zamzami Md Zahir, 32, @ Turbo, pula berkata, terdapat pelbagai halangan dan cabaran perlu ditempuhi dalam melaksanakan pertunjukan udara bertaraf antarabangsa.

Katanya, ini berikutan pertunjukan kali ini membabitkan gabungan pesawat pejuang, pengangkut dan helikopter yang memerlukan koordinasi yang baik secara keseluruhannya.

“Walaupun pertama kali beraksi bersama rakan-rakan sepasukan pada majlis pembukaan semalam, saya berbangga dan berpuas hati kerana dapat menghiburkan penonton dari dalam serta luar negara.

“Sebelum sesuatu penerbangan formasi aerobatik diputuskan untuk dipersembahkan, ianya dikaji daripada pelbagai aspek terutama keselamatan, keupayaan pesawat, cuaca dan beberapa aspek yang lain.

“Syukur, kami berjaya membuktikan kemampuan TUDM apabila dapat melaksanakan pertunjukan aerobatik dengan cemerlang,” katanya yang mengendalikan pesawat Sukhoi Su-30MKM dari No 11 Skuadron sejak tahun 2014.

Mejar Khairul Ikhwan Md Yusof, 32, @ Trumb, sependapat dengan rakan-rakannya iaitu latihan, persefahaman dan fokus ketika beraksi adalah rahsia utama kejayaan pertunjukan mereka yang mendapat pujian penonton hadir.

“Formasi aerobatik yang mahu dipertontonkan oleh aset-aset TUDM memang dirancang awal dan disusuli latihan yang teratur serta berkesan.

“Persiapan diri dan persefahaman rakan sepasukan yang diibaratkan seperti keluarga amat penting kerana kami semua perlu dan wajib tahu aras ketinggian pesawat sebelum, semasa dan akan datang,” katanya.

Disiarkan pada: March 27, 2019 @ 10:08am
d