mutakhir

Terbaik antara semua perumahan polis di Malaysia

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

KERJASAMA baik diterapkan dalam kalangan penghuni di Perumahan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah, menjadi rahsia kemenangan IPD itu selaku perumahan polis terbaik di Malaysia.

Perumahan IPD Perak Tengah diumum johan Kategori Anugerah Pengurusan Perumahan Terbaik Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2018, pada Sambutan Hari Polis Ke-212 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Kuala Lumpur, kelmarin.

Ia sekali gus melayakkan membawa pulang sijil dan plak kemenangan yang disampaikan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah.

Mohamad Zainal berkata, kemenangan itu adalah hasil kerjasama penghuni yang mengamalkan sikap bekerjasama dalam memastikan kawasan perumahan sentiasa bersih dan selamat.

“Kami mendapat sokongan padu daripada Ketua Polis Perak (Datuk Razarudin Husain) yang mahu kami menang dan sentiasa memberikan sokongan terhadap usaha dibuat.

“Untuk pengetahuan semua, Perumahan IPD Perak Tengah satu-satunya perumahan polis yang dilengkapi CCTV (kamera litar tertutup),” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, sejak meneraju IPD Perak Tengah bermula Februari 2017, beliau kerap memberi semangat dan menanam azam kepada setiap pegawai serta anggota supaya sentiasa berjaya dalam setiap pertandingan disertai.

“Kami memang komited untuk jadi juara dan kemenangan ini adalah hasil kerjasama semua. Walaupun IPD kami bukan IPD yang besar tetapi kami mahu buktikan kami boleh menjadi yang terbaik,” katanya.

Disiarkan pada: March 27, 2019 @ 11:22am
d