mutakhir

Mujur nak terkencing...

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

LELAKI terselamat apabila Perodua Viva miliknya terbakar di Kilometer 40, Jalan Bahau-Kemayan, berhampiran Balai Polis Sungai Lui, di Jempol, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, pada kejadian 9 malam, mangsa berusia 30-an dari Kemayan menuju ke Bahau.

Setibanya di lokasi katanya, mangsa berhenti di tepi jalan untuk membuang air kecil sebelum mendapati asap keluar daripada bonet kereta.

“Tidak lama kemudian, berlaku percikan api di bawah enjin sebelum api merebak membakar kenderaan. Cemas dengan kejadian, mangsa menyelamatkan barangan dalam kereta lalu melarikan diri,” katanya.

Muhd Nur Hishamuddin berkata, mangsa menghubungi pihak bomba dan hanya dapat melihat keretanya terbakar.

Sementara itu, jurucakap dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBDP) Jempol berkata, pihaknya menerima panggilan 9.09 malam mengerahkan tujuh anggota dan sebuah jentera ke lokasi.

Katanya, sebaik tiba 9.28 malam, anggota mendapati api marak membakar kenderaan, lalu kerja pemadaman dilakukan segera.

“Api dapat dipadamkan 30 minit kemudian, namun kereta itu musnah 100 peratus. Mangsa terselamat dan punca kejadian masih disiasat,” katanya.

Disiarkan pada: March 27, 2019 @ 12:21pm
d