mutakhir

Mahkamah benar ikat jamin pengarah kilang

Oleh Mary Victoria Dass

MAHKAMAH Tinggi Johor Bahru hari ini, membenarkan jaminan RM250,000 terhadap pengarah syarikat warga Singapura yang sebelum ini tidak dibenarkan jaminan atas pertuduhan membuang dan bersubahat melupuskan bahan sisa toksik ke dalam Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, 7 Mac lalu.

Malah jaminan yang dikenakan ke atas pemandu lori dan pengarah syarikat tempatan turut dikurangkan masing-masing kepada RM30,000 dan RM150,000 atas pertuduhan sama.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid membuat keputusan itu selepas membuat semakan keputusan Mahkamah Sesyen di sini, Ahad lalu ke atas pemandu, N Maridass, 35, Yap Yoke Liang, 42, dan warga Singapura, Wang Jing Choa, 34.

Dalam keputusan selepas mendengar rayuan kedua-dua belah pihak, Ahmad Kamal membenarkan wang jaminan terhadap Maridass dikurangkan daripada RM100,000 kepada RM30,000.

Mahkamah turut mengurangkan jaminan yang dikenakan ke atas Yap daripada RM250,000 kepada RM150,000 manakala lain-lain keputusan iaitu seorang penjamin serta perlu melaporkan diri ke Balai Polis Pasir Gudang setiap 1 haribulan sehingga selesai prosiding, dikekalkan.

Manakala Wang yang sebelum ini tidak dibenarkan diikat jamin, mahkamah memutuskan memberikan jaminan sebanyak RM250,000 serta dua orang penjamin tempatan selain perlu melaporkan diri ke balai polis sama setiap 15 haribulan dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Ahmad Kamal dalam alasannya ketika memberikan keputusan menganggap Hakim Mahkamah Sesyen terkhilaf dalam membuat keputusan jaminan ke atas kesemua tertuduh.

Beliau turut bersetuju dengan keputusan Mahkamah Sesyen memberikan jaminan yang setimpal terhadap tertuduh dengan mengambil kira kes yang dilakukan mereka adalah serius selain jaminan daripada tertuduh melarikan diri atau tidak hadir ke mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, Maridass didakwa melupuskan buangan bahan terjadual di bawah Kod SW311 iaitu buangan minyak atau enap cemar berminyak seperti dalam senarai Jadual Pertama Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekitar (Buangan Terjadual) 2005 ke dalam Sungai Kim Kim.

Manakala Yap dan Wang dituduh bersama-sama bersubahat dengan Maridass melakukan perbuatan itu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan kesemua tertuduh menggunakan lori jenis Mitsubishi Semi Treler M/Sawit tanpa mendapat apa-apa kelulusan bertulis daripada Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di kawasan tapak projek pelebaran jambatan Sungai Kim Kim, Jalan Kota Masai 1, Pasir Gudang antara 12 tengah malam hingga 1 pagi, 7 Mac lalu.

Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 34B(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 34B(4) akta sama, manakala pendakwaan terhadap Yap dan Wang dibaca bersama Seksyen 42 akta sama.

  • Lagi berita berkaitan gas beracun Sungai Kim Kim
  • Disiarkan pada: March 27, 2019 @ 12:36pm
    d