mutakhir

Penduduk enggan minum 'air mayat'

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

PERMINTAAN terhadap air mineral naik mendadak susulan penduduk sekitar Felda Palong 12 di Jempol yang bimbang dengan kesucian air di kawasan itu.

Ia susulan penemuan mayat yang sudah hancur dalam tangki air itu.

Peniaga gerai makan, Md Ghazali Sukor, 62, berkata, lebih 100 botol air mineral sudah habis dan pelanggannya hanya memesan air mineral atau air dalam tin sahaja sejak semalam.

“Mereka tak mahu memesan air yang dibancuh kerana bimbang air putih digunakan daripada tangki air ada mayat itu.

“Sejak penemuan berkenaan memang kami di sini lebih sanggup membeli air mineral daripada membayangkan keadaan berkenaan (terminum air mayat),” katanya ditemui, hari ini.

Dia juga mengakui sangat bimbang sekiranya selama ini mereka minum air mayat disebabkan mangsa sudah dilaporkan hilang sejak lapan bulan lalu.

“Khuatir betul jika selama ini air minuman dan makanan yang dimasak dihasilkan daripada air yang bercampur mayat,” katanya.

Penduduk, Hamidon Suhor, 63, pula terpaksa berlapang dada dan enggan memikirkan selama ini menggunakan air bercampur mayat.

Katanya, selama ini bekalan air adalah terawat dan kejadian yang berlaku di luar jangkaan.

“Selama ini kami dah guna air yang terawat. Kami tak tahu (ada mayat), tak apalah,” katanya yang berharap pihak Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan dan Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) tampil memberikan penjelasan bagi memulihkan semula keadaan.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) FELDA Palong 12, Zulkefly Zainuddin berkata, pihak SAINS perlu mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelak kejadian sama berulang.

“Kawasan tangki air sepatutnya tidak boleh dimasuki orang awam dan pintu tangki juga perlu dikunci rapi. Kalau mudah untuk diceroboh, kami bimbang kejadian sama berulang,” katanya.

Berita berkaitan

Mayat lelaki dalam tangki air

[UPDATE] Polis jumpa tengkorak, cebisan daging

Disiarkan pada: March 27, 2019 @ 5:06pm
d