mutakhir

Kilang proses sisa lebihan ayam menjijikkan

Oleh Ruwaida Md Zain

LONGGOKAN bulu ayam berbau busuk dan takungan darah ayam dihurung lalat antara penemuan menjijikkan di kilang memproses bulu ayam di sekitar Sungai Chandong, Pulau Indah di Pelabuhan Klang, hari ini.

Tidak setakat itu, kilang memproses sisa lebihan ayam untuk dibuat baja terbabit didapati beroperasi secara haram.

Perkara itu dibongkar Majlis Perbandaran Klang (MPK) yang menjalankan serbuan di lima premis, termasuk kilang memproses plastik kitar semula, memproses baja dan kitar semula minyak kenderaan, bermula 9 pagi hari ini.

Yang Dipertua MPK, Datuk Mohamad Yasid Bidin berkata, operasi khas itu dijalankan hasil aduan dan maklumat awam, selain risikan anggota penguat kuasanya.

Katanya, empat daripada lima kilang yang diperiksa itu didapati tidak mempunyai lesen.

“Ada kilang hanya mempunyai satu lesen untuk menyimpan barang tetapi tidak mempunyai lesen memproses.

“Selain itu, ada juga kilang yang didapati tidak mempunyai kedua-dua lesen, iaitu lesen mengilang dan menyimpan.

“Kilang memproses sisa lebihan ayam antara yang paling teruk kerana mengeluarkan bau busuk, malah membuang terus sisa kumbahan ke parit saliran umum sekali gus mencemarkan perparitan di kawasan sekitar,” katanya ketika ditemui selepas selesai operasi itu.

Operasi itu membabitkan Jabatan Perlesenan, Jabatan Penguatkuasaan dan Jabatan Kesihatan MPK.

Mohamad Yasid berkata, pihaknya mengeluarkan arahan tutup dan kompaun terhadap premis yang disita dengan dikenakan tindakan mengikut Undang-undang Kecil 3, Perlesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MPK) 2007.

Katanya, kompaun yang dikeluarkan kerana tidak mempunyai lesen mengilang, lesen menyimpan, dan tidak menjaga kebersihan.

“Tindakan lanjut terhadap kilang itu akan diambil sekiranya masih gagal mematuhi arahan ditetapkan.

“Selain tindakan mahkamah, kita akan meminta Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) memotong bekalan elektrik dan air di kilang itu,” katanya.

Sementara itu, seorang pekerja dikenali sebagai Nengsih, 50-an mendakwa, kilang memproses sisa lebihan ayam untuk dijadikan baja berkenaan sememangnya berbau busuk kira-kira lima tahun lalu.

“Saya sememangnya tinggal di dalam kilang itu untuk menjaga premis sekiranya ada individu datang untuk mencuri.

“Memang diakui kawasan kilang ini berbau busuk kerana memproses bahan yang digunakan untuk padi dan pokok,” katanya.

Disiarkan pada: March 27, 2019 @ 6:55pm
d