mutakhir

Pusat Pembelajaran Kanyon Imbak dibuka

Oleh Hartini Mohd Nawihar

PUSAT Pembelajaran Kanyon Imbak (ICSC) dibuka secara rasmi di Tongod, semalam.

ICSC adalah hutan hujan dara berkeluasan 27 hektar terletak di zon teras Kawasan Konservasi Kanyon Imbak (ICCA).

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal menyempurnakan majlis perasmiannya bersama Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Jamalul Kiram Mohd Zakaria; Pengerusi Petronas dan Yayasan Petronas, Datuk Ahmad Nizam Salleh; serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin.

Shafie berkata, ICSC adalah antara langkah penting dalam usaha Kerajaan Sabah untuk melindungi warisan alam semula jadi dan persekitaran hutan hujan Sabah.

"Pada masa sama ia juga meningkatkan keupayaannya sebagai pusat kajian alam sekitar dan biodiversiti kelas dunia," katanya.

ICSC adalah satu daripada lima kawasan konservasi yang diuruskan Kumpulan Yayasan Sabah termasuk Lembah Danum, Lembangan Maliau, Pesisiran Pantai Silam dan Sungai Taliwas.

Sejak 2010, Petronas menyumbang RM83 juta ke arah usaha konservasi Kanyon Imbak, menjadikannya usaha sama tempatan yang pertama dan terbesar bersama Kumpulan Yayasan Sabah bagi memelihara kawasan perlindungan hutan yang diwartakan di negeri ini.

Disiarkan pada: March 27, 2019 @ 7:02pm
d