mutakhir

Jadi pesawah pun boleh kaya

Oleh Noorazura Abdul Rahman

MENJADI pesawah bukanlah menjadi kerjaya pilihan bagi kebanyakan orang muda kerana perlu bermain lumpur, terdedah kepada cahaya terik matahari selain tidak menjanjikan pendapatan lumayan.

Namun, petani muda di Kubang Rotan di Alor Setar berjaya membuktikan sebaliknya apabila mampu meraih pendapatan kira-kira RM30,000 semusim atau RM5,000 sebulan sehingga dipilih sebagai pesawah cemerlang dalam Anugerah Tani Padiberas Nasional Bhd (BERNAS) 2019, baru-baru ini.

Norzan Abdullah, 39, berkata, pendapatan bersih itu bagaimanapun tidak diperoleh dengan mudah tanpa usaha yang gigih.

“Jika mengusahakan sawah yang sedikit, kita perlu tanam azam untuk meluaskan tanaman sejauh mata memandang, itulah cita-cita saya sejak berusia 16 tahun.

“Pada asalnya saya hanya mengerjakan sawah pusaka orang tua seluas dua hektar. Tapi sekarang saya sudah mampu menyewa sawah lain sebanyak sembilan hektar di sekitar Kubang Rotan dan memiliki dua lori, sebuah mesin menuai padi serta tiga jentera pembajak, selain mampu menggaji empat pekerja,” katanya ketika ditemui di di Kilang BERNAS, Sungai Baru, Kubang Rotan, di sini.

Ketika ditanya resipi kejayaannya, Norzan berkata, dia tidak pernah duduk diam dan bercuti walaupun pada hujung minggu.

Katanya, setiap hari pada 8 pagi dia akan mula meronda di kawasan sawah untuk melihat perkembangan pokok padi sehinggalah pada waktu petang mahupun malam.

“Pada waktu malam saya akan suluh kawasan sawah untuk melihat ada haiwan perosak seperti tikus atau siput gondang. Jika ada, keesokan pagi saya akan minta pekerja untuk menyembur racun bagi memastikan hasil padi tidak merosot.

“Pengalaman sejak berusia 16 tahun menjadi pesawah menyebabkan saya sangat prihatin dengan keadaan sawah dan pokok padi, malah saya turut memberikan khidmat nasihat kepada pesawah lain untuk meningkatkan hasil padi mereka terutama berkaitan sukatan penggunaan baja dan racun yang betul,” katanya.

Bapa kepada lima orang anak ini turut bercadang untuk menambah beberapa jentera lagi di masa depan selain mengusahakan lebih banyak sawah.

Sementara itu, Eksekutif Bekalan Kilang BERNAS Sungai Baru, Fatimah Othman berkata, Norzan layak menerima anugerah itu berikutan menjual padi kepada kilang terbabit dengan kuantiti yang semakin meningkat setiap musim.

Katanya, pada musim 1/2018 Norzan menjual 73 tan padi dan musim 2/2018 sebanyak 83 tan dengan keluasan sawah yang sama.

“Hasil padi yang banyak serta berkualiti menyebabkan dia dipilih memenangi anugerah itu daripada 140,000 pesawah yang berdaftar dengan BERNAS di seluruh negara,” katanya.

Disiarkan pada: March 28, 2019 @ 11:10am
d