mutakhir

Bomoh didakwa rogol pesakit

Oleh Muhamaad Razis Ismail

BOMOH dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini terhadap tuduhan merogol pesakitnya, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Azman Saat, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Difahamkan, mangsa yang bekerja sebagai pembantu klinik itu dikatakan terkena buatan orang dan berjumpa tertuduh yang menawarkan perkhidmatan perubatan alternatif.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol mangsa berusia 22 tahun di dalam bilik di rumah di Ketereh, pada 1 tengah hari, 30 Julai 2016.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, pada tarikh, waktu dan lokasi sama, tertuduh didakwa melakukan perhubungan seks dengan mangsa sama.

Tertuduh didakwa mengikut 377CA Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 30 tahun dan juga hendaklah dikenakan sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Abu Arsalnaa Zainal Abidin, manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Nizam Mohamad.

Terdahulu, Abu Arsalnaa tidak menawarkan jaminan dengan mengambil kira kesalahan serius dan tertuduh mengenali mangsa.

Bagaimanapun, Ahmad Nizam memohon jaminan minimum dibenarkan terhadap anak guamnya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dan menetapkan syarat supaya tertuduh melaporkan diri di Balai Polis Ketere selain dilarang mengganggu saksi pendakwaan dan mangsa.

Kes ditetapkan pada 23 April depan untuk sebutan semula.

Disiarkan pada: March 28, 2019 @ 1:29pm
d