mutakhir

ASP didakwa minta RM1.5 juta

Oleh Rafidah Mat Ruzki

PEGAWAI polis yang didakwa menerima rasuah berjumlah RM1.35 juta semalam, didakwa sekali lagi di Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini.

Kali ini, tertuduh, Asisten Superintendan (ASP) Gan Chee Liang, 36, dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman didakwa meminta rasuah berjumlah RM1.5 juta sebagai balasan penyelesaian kes pengedaran dadah, kira-kira dua tahun lalu.

Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Rozilah Salleh pada prosiding pagi ini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 iaitu sebagai Penolong Penguasa Polis Diraja Malaysia, meminta untuk diri sendiri rasuah sebanyak RM1.5 juta daripada Viktor Goh, 38, sebagai dorongan menyelesaikan kes yang disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bilik Lokap Berpusat Polis Shah Alam pada jam 11 pagi, 10 Mac 2017.

Justeru, dia boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama, iaitu dipenjara sehingga 20 tahun, denda tidak kurang lima ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi

Pegawai Pendakwa SPRM, Wan Ahmad Nidzam Wan Omar menawarkan wang jaminan RM100,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin.

Bagaimanapun, peguam Chong Kak Sen mewakili tertuduh memohon wang ikat jamin dikurangkan kepada RM10,000 berikutan anak guamnya diikat jamin sebanyak RM80,000 bagi empat pertuduhan menerima rasuah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam.

“Siasatan kes dijalankan sejak 2017 dan anak guam saya ditahan pada tahun itu serta tidak pernah gagal melaporkan diri ke pejabat SPRM.

“Saya percaya wang jaminan termasuk jaminan tambahan dikenakan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sudah mencukupi,” katanya.

Rozilah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan dua penjamin.

Beliau juga menetapkan sebutan semula kes pada 29 April ini.

Harian Metro semalam melaporkan Chee Liang didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, membabitkan empat tuduhan menerima rasuah wang berjumlah RM1.35 juta daripada dua lelaki sebagai balasan menyelesaikan kes pengedaran dadah, dua tahun lalu.

Disiarkan pada: March 28, 2019 @ 2:32pm
d