mutakhir

Layan syabu untuk 'tahan lama'

Oleh Hadzlihady Hassan

JUAL badan sambil hisap syabu. Itu yang dilakukan pelacur warga asing yang ditahan di dua hotel di Jalan Rangoon, Georgetown, semalam.

Dalam operasi, Op Gegar oleh Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) Pulau Pinang bermula 11 malam itu, pelacur berkenaan menggunakan alasan kononnya peralatan menghisap syabu itu milik pelanggannya yang tertinggal dalam bilik hotel berkenaan.

Dia yang menyedari serbuan itu pada mulanya cuba membuang peralatan berkenaan bersama kondom ke dalam tong sampah, namun dikesan pihak berkuasa.

Difahamkan, pelacur itu menghisap syabu untuk tenaga dan dikatakan mampu membuatkan dia berjaga sepanjang melayani pelanggan.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, seramai 19 pelacur warga asing ditahan operasi itu kerana menyalah guna pas lawatan sosial ketika berada di negara ini.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada 14 warganegara Thailand, empat Vietnam dan seorang dari Laos,” katanya, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Khairul Dzaimee berkata, pihaknya sedang mempertimbang cadangan menggunakan kaedah baharu kepada pelancong yang kerap memasuki negara ini menggantikan pas lawatan sosial.

Menurutnya, ia bagi mengekang aktiviti pelacuran membabitkan pelancong asing yang kerap menyalahgunakan pas berkenaan.

“Kita akan kaji kaedah sesuai untuk melihat kemungkinan pelancong yang kerap masuk ke negara ini menggunakan pas lawatan sosial, supaya menjalani sesi soal siasat lebih lanjut di pintu masuk negara.

“Bagaimanapun, ia perlu dikaji terlebih dulu supaya tiada pelancong teraniaya khususnya mereka yang menjalankan urusan perniagaan. Apapun, cadangan ini masih di peringkat perbincangan jabatan,” katanya

Disiarkan pada: March 28, 2019 @ 4:54pm
d