mutakhir

Polis buru dua peragut

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

KAJANG: Polis memburu dua penjenayah menaiki motosikal yang meragut beg tangan seorang wanita di daerah ini, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, pihaknya menerima laporan dibuat mangsa berusia 31 tahun di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang jam 3.57 petang pada hari kejadian.

“Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, mangsa dikatakan sedang berjalan di lokasi berkenaan sebelum diragut dua lelaki menaiki motosikal.

“Kejadian itu menyebabkan mangsa kehilangan beberapa kad bank, sejumlah wang tunai serta satu cek atas nama syarikat berjumlah lebih RM3,000 selain kunci rumah dan pejabat,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Ahmad Dzaffir berkata, siasatan awal mendapati ada orang awam cuba menahan suspek terbabit sehingga mencetuskan pergelutan di lokasi kejadian.

“Bagaimanapun, kedua-dua suspek berjaya melarikan diri dengan memecut motosikal. Ada rakan mangsa sempat merakam kejadian itu menggunakan telefon bimbit, namun rakaman berdurasi 11 saat itu tidak berjaya merakam muka dan kenderaan digunakan suspek dengan jelas.

“Malah, mangsa tidak dapat mengecam muka dua suspek terbabit kerana mereka memakai topi keledar tutup muka penuh,” katanya memaklumkan mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beliau berkata, usaha mengesan suspek giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Nurul Shafinaz Saud di talian 011 37171020,” katanya.

Disiarkan pada: March 29, 2019 @ 6:30am
d