mutakhir

Jalan tutup, air naik

Oleh Ramli Ibrahim

HUJAN lebat sejak awal pagi menyebabkan dua jambatan dan satu jalan di sekitar Gua Musang ditutup selepas dinaiki air.

Laluan yang ditutup adalah jalan menghubungkan bandar ini dengan Kampung Tiong, jambatan Sungai Ketil di Kampung Kerinting dan jambatan Sungai Chinda, Jalan Pekan lama.

Laluan itu mulai ditutup 6 pagi apabila hujan berterusan mulai 3 pagi menyebabkan air Sungai Ketil, Galas dan Sungai Chinda naik mendadak.

Menurut penduduk di Kampung Tiong, Husin Harun, 43, jalan kampung itu dinaiki air naik secara mengejut hingga menyebabkan kebanyakan kenderaan terkandas di situ.

“Kebiasaannya air sungai naik dan cepat surut sebaik hujan berhenti, namun setakat 9 pagi ini belum surut lagi kerana hujan renyai.

“Penduduk terpaksa berpatah balik untuk melalui Jalan Gua Musang-Jeli untuk ke bandar ini,” katanya.

Penduduk di Kampung Kerinting, Kamal Ishak, 51 pula berkata, kejadian jambatan Sungai Ketil di kampung itu ditenggelami air adalah yang pertama kali berlaku tahun ini.

“Kedudukan jambatan itu rendah dan pada tahun lalu sahaja lebih 10 kali ia ditenggelami air setiap kali hujan lebat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Taufik Maidin ketika dihubungi mengesahkan dua jambatan dan satu jalan ditutup kerana dinaiki air.

“Saya menasihatkan pengguna supaya lebih berhati-hati apabila melalui laluan berkenaan,” katanya.

Disiarkan pada: March 29, 2019 @ 10:27am
d