mutakhir

Pemandu lori maut rempuh treler

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

PEMANDU lori maut manakala dua rakan parah dalam kemalangan di Kilometer 245.3 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara, dekat Senawang di Seremban, hari ini.

Mangsa Norman Nabil Hakim, 19, meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala Mohd Hafifi, 25, yang juga pemandu kedua dan kelindan, Mohd Azzuan Sairi, 30, parah.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Sembilan, Superintendan Ibrahim Mohd Abdul Kadir berkata, kemalangan 5 pagi itu membabitkan lori membawa muatan perabot dan lori treler membawa muatan tanah.

“Siasatan mendapati lori perabot yang dipandu Norman Nabil ditemani pemandu kedua dan kelindannya merempuh belakang lori treler yang sedang bergerak di lorong kiri.

“Rempuhan itu mengakibatkan ketiga-tiga mangsa tersepit sebelum dikeluarkan oleh anggota bomba,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ibrahim berkata, pemandu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala dua lagi mangsa parah dan dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) untuk rawatan lanjut.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: March 29, 2019 @ 11:23am
d