mutakhir

Tidak mengaku tipu rawatan kesuburan [METROTV]

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

PEMBANTU tadbir mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuantan, hari ini atas 32 tuduhan membuat tuntutan palsu berkaitan rawatan kesuburan bernilai RM209,233, sejak 2014.

Tertuduh Mazuin Zulkifli, 33, yang berasal dari Taman Impianku di Jalan Sungai Lembing, Kuantan membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mohd Ghazali Mohamad Taib.

Dia didakwa melakukan kesalahan berkenaan antara 10 Okt 2014 hingga 25 Okt 2017 mengemukakan Borang Perubatan 1/90 berserta resit rawatan yang berjumlah antara RM3,243 hingga RM9,000 di Pusat Kesuburan Hospital Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (HUIAM), Kuantan.

Tertuduh didakwa melakukannya ketika masih berkhidmat di Jabatan Perhutanan Pahang dan Jabatan Pertanian Pahang selepas ditukarkan ke jabatan itu pada 2017.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai kesalahan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohamad Fadhly Mohd Zamry menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin kepada tertuduh dengan syarat tambahan tertuduh melaporkan diri ke pejabat SPRM setiap bulan.

Peguam Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar bagaimanapun merayu supaya jumlah jaminan itu dikurangkan memandangkan anak guamnya hanya memperoleh pendapatan bulanan sebanyak RM2,500.

“Tertuduh hanya dimaklumkan tarikh ke mahkamah pada dua hari lalu, dan dalam tempoh masa yang singkat itu, anak guam saya hanya mampu mengumpulkan wang sebanyak RM15,000 untuk jaminan.

“Kakak tertuduh bersedia untuk menjadi penjamin. Malah sepanjang siasatan, tertuduh sentiasa memberi kerjasama kepada SPRM dan tidak pernah berniat untuk melarikan diri,” katanya.

Mohd Ghazali membenarkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan syarat tambahan supaya tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri ke pejabat SPRM setiap awal bulan.

Beliau menetapkan 29 April depan untuk sebutan semula kes.

Disiarkan pada: March 29, 2019 @ 11:38am
d