mutakhir

'Keadaan kelam-kabut'

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

“KETIKA kejadian, hujan memang lebat disusuli angin yang bertiup kencang sebelum kami diberitahu dewan makan di Pondok Penyayang Raudhah dihempap pokok,” kata Baharudin Harun, 59 antara mangsa ribut di Batu 11, Gombak yang terselamat.

Dalam kejadian 5.40 petang semalam, lapan penghuni Pondok Penyayang Raudah di sini, cedera dalam kejadian pokok tumbang yang menghempap pusat jagaan itu.

Baharudin berkata, dia bersama empat renjer hutan kemudian cuba menyelamatkan kanak-kanak yang ditimpa kayu akibat kejadian berkenaan.

“Selepas berjaya mengeluarkan semua mangsa dari timbunan runtuhan, rakan saya yang kami panggil Sabiri keluar dari kawasan berkenaan.

“Bagaimanapun ketika berjalan keluar dia tersepak wayar elektrik yang tumbang menyebabkan dia terpelanting sebelum tidak sedarkan diri,” katanya ketika ditemui di Dewan Orang Asli, Gombak, hari ini.

Menurutnya, dia bersama empat lagi penduduk kampung menyangka rakannya itu keletihan, namun sebaliknya dia terkena renjatan elektrik.

“Kami kemudian membawanya ke Hospital Orang Asli yang terletak kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian.

“Rumah saya turut rosak teruk, bahagian bumbung runtuh menyebabkan kami dipindahkan di dewan ini,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Mohd Suhaimi Safie, 38 berkata, dia bersama Baharudin membantu mengeluarkan kanak-kanak yang terperangkap akibat pokok tumbang berkenaan.

“Keadaan sedikit kelam-kabut ketika kejadian. Hujan lebat berserta angin kencang menyukarkan kami untuk mengeluarkan mangsa.

“Ini adalah kejadian kali pertama sejak 30 tahun saya tinggal di kawasan ini. Banyak pokok tumbang dan rumah musnah akibat dihempap pokok,” katanya.

Berita berkaitan

8 asnaf cedera pusat jagaan dihempap pokok [METROTV]

Disiarkan pada: March 29, 2019 @ 12:38pm
d