mutakhir

'Sebulan rugi setengah juta ringgit'

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

TUJUH puluh dua pemohon rumah mampu milik di Johor dikesan menjadi mangsa penipuan individu yang mendakwa ejen Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Bahagian Perumahan (SUK Perumahan).

Mereka tampil mengadu bulan lalu dengan kerugian mencecah RM526,000, nilai paling tinggi pernah direkodkan sejak isu ejen palsu dilaporkan, tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dzulkefly Ahmad berkata, aduan dibuat kepada SUK Perumahan itu kemudian dilanjutkan dengan dua laporan polis, masing-masing bagi 70 mangsa dan dua mangsa lain.

“Ini kerugian terbesar setakat ini kerana membabitkan 72 mangsa dan kerugian RM526,000 untuk Februari sahaja.

“Saya sudah berhubung dengan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd dan beliau memaklumkan kes dalam siasatan dan maklumat akan diberi dari semasa ke semasa.

“Semua mangsa ini mendakwa didatangi ejen yang kononnya wakil Pejabat SUK Perumahan dan memberi jaminan pemohon akan mendapat rumah mampu milik sama ada bagi Rumah Mampu Biaya Johor (RMBJ), Rumah Kouta Bumiputera mahupun Rumah Sewa Kerajaan (RSK) yang semuanya sekitar Johor Bahru,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Gotong-Royong Perdana sempena Upacara Gerak Kerja Pembinaan Taman Rekreasi Forest City-Kampung Tanjung Adang di Gelang Patah, hari ini.

Dzulkefly berkata, siasatan awal pihaknya mendapati ejen yang menyamar itu mempunyai kemahiran berkomunikasi yang baik sehingga berjaya memperdaya mangsa untuk serahkan wang ribuan ringgit.

“Disebabkan itu ada mangsa membayar secara tunai dan tiada resit rasmi dikeluarkan ejen ini. Kita percaya itulah antara punca mangsa sendiri tidak berani tampil membuat aduan atau laporan polis kerana malu mereka mudah ditipu.

“Tak perlu malu, walaupun pernah membuat kesilapan besar, tetapi sekurang-kurangnya ia boleh memberi pengajaran dan kesedaran kepada orang lain supaya berhati-hati,” katanya.

Menurutnya, pihaknya juga bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyiasat dakwaan sama ada wujud pembabitan ‘orang dalam’ sehingga berlakunya penipuan itu.

Beliau mendesak semua pihak yang mempunyai maklumat kegiatan ini supaya melaporkannya ke talian Hotline 01128977879 pada waktu pejabat atau menerusi laman sembang WhatsApp 24 jam, selain terus ke laman web rasmi aduan http://johor.spab.gov.my.

Disiarkan pada: March 29, 2019 @ 12:50pm
d