mutakhir

Empat rumah setinggan hangus

Oleh Erika George

BAU asap serta bahang panas menyelamatkan nyawa 10 penghuni di empat rumah setinggan di Jalan Sungai Plan di Bintulu, dalam kebakaran hari ini.

Ketika kejadian kira-kira 2 pagi itu, semua penghuni rumah terbabit sedang nyenyak tidur sebelum seorang daripada mereka terjaga selepas terhidu bau asap.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu, Mohamad Meramit berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 2.25 pagi sebelum sepasukan 15 anggota dikejarkan ke lokasi.

“Penghuni bernasib baik kerana seorang daripada mereka menyedari kejadian itu dan kemudian segera mengejutkan yang lain untuk melarikan diri.

“Tindakan cepat mangsa itu bukan sahaja berjaya menyelamatkan nyawa ahli keluarganya serta tiga lagi rumah yang terbakar, tetapi berjaya mengelak kebakaran besar berikutan rumah di kawasan setinggan itu dibina rapat-rapat serta menggunakan bahan yang mudah terbakar,” katanya.

Mohamad berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira tiga jam bagi mengawal kebakaran itu daripada merebak ke kediaman lain dan api berjaya dipadam sepenuhnya pada 5.18 pagi.

“Siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian itu selain mentaksir jumlah kerugian yang dialami semua mangsa,” katanya.

Disiarkan pada: March 29, 2019 @ 2:21pm
d