mutakhir

'Hilang' 19 jam sebelum diberkas

Oleh Norsyazwani Nasri

TAHANAN Indonesia sempat melarikan diri selama 19 jam sebelum diberkas semula polis di Batu 3, Jalan Kubong, Limbang, hari ini.

Dia yang berusia 30 tahun meloloskan diri di Balai Polis Limbang ketika dipindahkan ke Penjara Limbang untuk menjalani tahanan reman, 4.15 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Limbang Superintendan Mohd Bukhori Saffai berkata, pihaknya berjaya mengesan suspek di sebuah rumah di kawasan itu pada 11.20 pagi dan menahannya selepas berlaku pergelutan.

Katanya, suspek akan dibawa ke Hospital Limbang untuk pemeriksaan kesihatan terlebih dahulu.

“Kita juga sedang mencari gari yang dibuangnya ketika meloloskan diri semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Bukhori berkata, ketika kejadian, suspek yang disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mencederakan, sedang dibawa ke kenderaan untuk dipindahkan ke penjara.

Katanya, ketika itu terdapat empat tahanan lain termasuk seorang wanita dan suspek melarikan diri apabila menghampiri kenderaan.

“Dia melarikan diri ke arah hutan dan gerakan mencarikan dilakukan segera dengan bantuan 10 anggota Batalion 12, Pasukan Gerakan Am (PGA),” katanya.

Disiarkan pada: March 29, 2019 @ 3:04pm
d