mutakhir

Lebur RM77,500

Oleh Hadzlihady Hassan

TAKUT selepas didakwa terbabit dalam sindiket perjudian dan pengubahan wang haram, wanita berputih mata apabila wang simpanannya RM77,500 lesap sekelip mata akibat ditipu sindiket Macau Scam.

Dalam kejadian 9.45 pagi Isnin lalu, mangsa 56 tahun menerima panggilan daripada lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Zahari dan bekerja di Bank Negara.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan berkata, lelaki itu memberitahu mangsa yang dia dikesan berpakat dengan lelaki bernama David dalam kes perjudian dan pengubahan wang haram bernilai RM1.5 juta.

“Zahari itu juga memberitahu mangsa akan dikenakan waran tangkap selepas didapati bersubahat.

“Suspek turut bertanyakan kepada mangsa jumlah wang simpanan yang dimiliki konon kerana mahu kepastian sama ada wang terbabit daripada aktiviti haram atau sebaliknya,” katanya.

Anbalagan berkata, suspek kemudian memperdaya mangsa dan memintanya memasukkan wang untuk menyelesai dan membersihkan nama wanita terbabit.

“Mangsa yang percaya dengan kata-kata suspek memasukkan wang RM55,000 di dua bank di Bayan Baru Isnin dan Selasa lalu.

“Rabu lalu, mangsa sekali lagi memasukkan wang RM10,000 disusuli RM12,500 hari ini,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang juga pesara operator di sebuah kilang bagaimanapun mula sangsi dan menceritakan kejadian terbabit kepada rakan sebelum dia membuat laporan polis kerana ditipu.

“Hasil siasatan kita mendapati semua wang itu adalah hasil simpanan miliknya dalam akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tabung Haji dan Amanah Saham Bumiputera (ASB) berjumlah RM77,500.

“Kita masih mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Disiarkan pada: March 29, 2019 @ 3:31pm
d