mutakhir

Pengedar dan penagih dadah dicekup [METROTV]

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

TUJUH lelaki yang melakukan transaksi pengedaran dadah ditahan polis dan heroin 4.55 kilogram dirampas di tempat letak kereta sebuah hotel di Seremban kelmarin.

Pemangku Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri menjalankan Operasi Khas, selepas menerima maklumat berhubung aktiviti penjualan dan pembelian dadah, pada 11 malam.

Menurutnya, ketika intipan di tingkat bawah hotel berkenaan, polis melihat dua kereta Perodua Myvi memasuki parkir dan diletakkan bersebelahan.

“Sebaik menyedari kehadiran polis, enam lelaki berusia 20 hingga 29 tahun cuba melarikan diri namun berjaya ditahan. Polis seterusnya menahan seorang lagi lelaki yang berada di lobi hotel,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan hari ini.

Mohamad berkata, pemeriksaan dalam kereta pertama menemui 4.55 kilogram heroin dan 0.3 gram syabu manakala kereta kedua menemui 8 gram heroin dengan semua rampasan itu dianggarkan RM160,000.

Menurut Mohamad, semua dadah itu dibawa dari Selangor untuk kegunaan penagih di negeri itu.

“Polis menyita sebuah Perodua Myvi dan barang kemas bernilai RM6,700 dan ujian air kencing mendapati semua suspek positif methamphethamine dan dadah THC.

“Lima suspek pula memiliki rekod jenayah lampau dan dadah dan mereka direman tujuh hari hingga 3 April ini,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Dalam perkembangan sama katanya, polis menahan enam penagih dadah di Tampin, Seremban, Kuala Pilah, Port Dickson dan Rembau, kelmarin mengikut Langkah-Langkah Pencegahan Khas ADB.

Beliau berkata, bermula Januari lalu hingga hari ini, polis sudah menyita dan melucutkan hak aset pengedar dadah berjumlah RM1.27 juta.

Disiarkan pada: March 29, 2019 @ 4:28pm
d