mutakhir

Tidak mengaku cedera, ugut bunuh

Oleh Murni Wan Omar

LELAKI Myanmar dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Petaling Jaya atas dua pertuduhan mencederakan dan mengugut mahu membunuh teman wanitanya warga tempatan, minggu lalu.

Thike Soe, 28, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Nurshahirah Abdul Salim.

Tertuduh didakwa dengan niat mendatangkan ketakutan dengan melakukan ugutan jenayah mahu membunuh wanita berusia 35 tahun itu.

Thike juga didakwa mendatangkan kecederaan kepada mangsa dengan menendang bahagian peha dan perut serta menampar dahi wanita itu.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan di sebuah rumah di Kampung Cempaka, Kelana Jaya pada 7 malam, 17 Mac lalu.

Bagi pertuduhan mengugut, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Manakala bagi kesalahan mencederakan pula, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda yang boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Hakim Amir Abdul Hamid tidak menawarkan sebarang jaminan kerana tertuduh adalah warga asing.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 6 Mei depan untuk sebutan semula kes.

Disiarkan pada: March 29, 2019 @ 5:59pm
d