mutakhir

'Manusia Kalkulator' janji aksi terbaik

Oleh BERNAMA

KURANG sesaat soalan matematik yang diajukan juri Asia’s Got Talent dijawab tepat oleh S Yaashwin tanpa menggunakan kalkulator.

Kepantasan pelajar berusia 15 tahun daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Tun Hussein Onn 2 itu memukau juri seterusnya membawa Yaashwin ke peringkat akhir pertandingan berprestij itu di Marina Bay Sands, Singapura 4 April ini.

Digelar Manusia Kalkulator, remaja Malaysia itu memberi jaminan akan memberi aksi terbaik pada peringkat akhir Asia’s Got Talent, minggu hadapan.

Walaupun keberatan untuk mendedahkan persembahannya pada final, Juara Pertandingan Dekak-dekak dan Aritmetik Congak Antarabangsa 2017 itu pasti mencuri perhatian pengundi dan juri.

“Sudah tentu konsepnya berbeza daripada apa yang saya lakukan ketika uji bakat dan peringkat separuh akhir.

“Ini adalah pertandingan bakat dan penilaian adalah sangat subjektif. Tidak termasuk harapan daripada juri dan pengundi,” katanya pada sidang media “Yaashwin Sarawanan, Manusia Kalkulator” di Universiti Tun Abdul Razak (UTAR), Kuala Lumpur hari ini.

Yaashwin berkata, dia tidak mahu terlalu yakin dalam memenangi pertandingan itu tetapi mahukan penonton terhibur dan memberikan inspirasi kepada mereka.

“Saya menganggap diri sebagai penghibur, bukannya manusia kalkulator.

“Bermain dengan nombor menyeronokkan bagi saya dan inilah yang akan saya persembahkan kepada penonton nanti,” katanya.

Berkongsi persiapannya menjelang aksi final, Yaashwin berkata, dia hanya meluangkan masa 10 minit setiap hari untuk berlatih mengira dengan pantas.

Sebelum ini Yaashwin mengejutkan juri program, penerbit muzik terkenal David Foster, penyanyi antarabangsa, Anggun dan artis popular Amerika-Korea, Jay Park apabila menjawab dengan tepat dan pantas semua soalan matematik yang diajukan sebelum sempat juri habis mengira menggunakan kalkulator.

Disiarkan pada: March 29, 2019 @ 9:19pm
d