mutakhir

Pengundi perlu elak 'judi' undi [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

PENGUNDI diseru tidak terbabit dengan pertaruhan mengenai keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau kerana ia dikhuatiri mendorong pengundi untuk mengundi calon tertentu.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, beliau mengenal pasti terdapat ‘bookie’ yang melakukan kegiatan haram itu dengan mempertaruhkan beliau memenangi majoriti 3,000 undi.

“Saya mendapat tahu ada orang (bookie) buat pertaruhan meletakkan saya majoriti 3,000 undi.

“Itu berbahaya dan tidak baik kepada saya kerana apa akan berlaku adalah orang yang bertaruh mahu melihat saya dapat kurang daripada jumlah itu untuk menang.

“Ini menyebabkan pengundi tidak akan mengundi saya. Jadi saya minta mereka (bookie) tarik balik pertaruhan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Bilik Gerakan BN di Kampung Kancong di Seremban, hari ini.

Mohamad berkata, situasi itu tambah bahaya jika kaki judi memujuk atau menghasut pengundi di Rantau untuk mengundi calon lain bagi menurunkan peratusan undi terbabit.

“Saya harap semua pengundi terutama pengundi Cina supaya tidak terbabit dalam perjudian untuk mempertaruhkan keputusan mengundi itu,” katanya.

Ditanya mengenai kenyataan Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook yang menyifatkan PRK DUN Rantau sebagai ibu kepada semua PRK kerana calon Pakatan Harapan (PH) bakal berdepan dengan pemimpin utama pembangkang, Mohamad berkata, semuanya bergantung kepada pengundi.

Mohamad mengakui berdepan cabaran dan tugas berat kerana akan berdepan calon kerajaan yang sudah pasti akan melakukan apa saja demi memenangi pilihan raya itu.

“Hanya cakap-cakap orang saya senang menang, tetapi bagi saya susah. Saya berharap pengundi tidak terpesona dengan kata-kata itu yang sebenarnya mahu menyekat pengundi pulang mengundi.

“Sebagai ketua pembangkang di negeri ini, kehadiran saya di dalam dewan (DUN) penting bagi memastikan kerajaan PH menunaikan janji mereka kepada rakyat,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Rantau
  • Disiarkan pada: March 29, 2019 @ 9:38pm
    d