mutakhir

Ditetak lelaki dikenali

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

KETUA PKR Ranting Taman Cempaka, Rantau, K Suresh, 49, cedera lengan kiri akibat ditetak seorang lelaki di taman itu, hari ini.

Sumber polis berkata, ketika kejadian 4 petang itu mangsa membersihkan belukar bersama rakan di kawasan berkenaan.

Katanya, mangsa didatangi lelaki dikenali berusia 40-an yang tiba-tiba memarahinya.

“Suspek mengherdik mangsa dengan perkataan ‘kotor’ selain bertanya siapa yang memintanya membersihkan kawasan itu. “Lelaki itu kemudian pulang semula ke rumahnya,” katanya.

Sumber itu berkata, tidak lama kemudian suspek datang semula dengan membawa sebilah parang lalu mengejar mangsa.

“Lelaki berkenaan cuba menetak mangsa namun berjaya dielak. Parang itu bagaimanapun mengenai lengan kiri mangsa menyebabkannya cedera,” katanya.

Menurut sumber itu lagi, kekecohan itu dileraikan rakan mangsa sebelum laporan dibuat di Balai Polis Rantau selepas kejadian.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Mohd Rosli Ishak yang dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian dan siasatan sedang dijalankan.

Disiarkan pada: March 29, 2019 @ 9:43pm
d