mutakhir

Polis rai pesara polis [METROTV]

Oleh Norizuan Shamsuddin

POLIS Petaling Jaya meraikan lebih 60 pesara Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang tinggal di daerah itu sebagai tanda menghargai pengorbanan dan jasa mereka sempena sambutan Hari Polis ke-212.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, majlis itu adalah program tahunan dilaksanakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya sejak 2016.

“Ini kali ketiga kita meraikan pesara yang tinggal di bawah pentadbiran IPD Petaling Jaya.

“Sehingga kini terdapat lebih 200 pesara polis tinggal di daerah ini dan hari ini lebih 60 pesara hadir termasuk bekas pimpinan tertinggi PDRM, pegawai dan anggota lain-lain pangkat.

“Program dilaksanakan bagi menzahirkan rasa penghargaan kepada pesara polis yang mencurahkan bakti dalam menjaga keamanan dan keharmonian negara.

“Selain itu, program ini dapat mengeratkan hubungan baik yang sekian lama terjalin antara kakitangan yang masih berkhidmat dengan pesara polis dan dapat menjadi platform untuk berkongsi pengalaman serta pendapat dalam bidang kepolisan,” katanya pada sidang media majlis meraikan pesara PDRM sempena Hari Polis ke-212 di Petaling Jaya hari ini.

Turut hadir mantan Ketua Polis Negara kelima, Tan Sri Abdul Rahim Mohd Noor bersama pesara pengurusan tertinggi, pegawai dan anggota PDRM.

Sementara itu, Abdul Rahim berkata, pihaknya berterima kasih kepada IPD Petaling Jaya kerana melaksanakan program terbabit untuk memperingati dan mengenang jasa pesara polis.

Katanya, tugas kepolisan bagi generasi baru kini semakin mencabar dengan kemajuan yang dikecapi negara pada masa kini.

“Bagaimanapun, kerja polis pada asasnya adalah sama iaitu bagi menentu masyarakat di negara ini dapat hidup aman.

“Namun, kesedaran keamanan dan kedamaian yang wujud di negara ini masih kurang dihayati oleh masyarakat negara ini, sebaliknya rakyat di Selatan Thailand lebih kagum dengan keamanan hidup yang terdapat Malaysia.

“Selepas bersara, saya terbabit secara langsung dalam isu untuk wujudkan satu bentuk perdamaian di Selatan Thailand atas permintaan kerajaan.

“Saya sekarang sedang melakukan dialog keamanan antara kerajaan Thailand dan puak pemisah.

“Oleh sebab itu, saya berpeluang berjumpa dengan dua pihak terbabit dan mereka begitu kagum melihat keamanan serta kedamaian, hidup harmoni di negara ini,” katanya ketika berucap.

Disiarkan pada: March 29, 2019 @ 10:11pm
d