mutakhir

Rumah 3 beranak terbakar

Oleh Nor Amalina Alias

TIGA beranak hilang tempat tinggal dalam kebakaran membabitkan tiga rumah milik keluarga itu di Kampung Padang Bemban, Mahligai di Bachok, petang hari ini.

Dalam kejadian 6.15 petang itu, kebakaran dipercayai bermula dari bahagian dapur rumah Nik Sin Mohamad, 76, sebelum merebak ke rumah dua anaknya, Nik Anuar Shariff, 44 dan Nik Asma, 32, yang tinggal berdekatan.

Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Seorang lagi anak Nik Sin, Nik Mohd Zan, 41, berkata, ketika kejadian dia di rumah abang keduanya, Nik Mat Zain, 50, kira-kira 500 meter dari rumah mereka sebelum dimaklumkan jiran rumah mereka terbakar.

Katanya, ketika di rumah abangnya itu, bapa dan ibunya turut bersama mereka di rumah berkenaan.

“Saya bergegas pulang sebaik menyedari kebakaran, namun ketika itu api sudah merebak sebahagian besar rumah dan kami tidak mampu berbuat apa-apa.

“Mujurlah, abang dan adik yang tinggal berdekatan sempat menyelamatkan diri bersama keluarga masing-masing,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di Bachok, hari ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bachok, Penolong Penguasa Bomba, Yus Heary Mahmood berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian 6.40 petang.

Katanya, seramai 22 anggota daripada BBP Bachok, Ketereh dan Pasir Tumbuh serta lima anggota bomba sukarela bergegas ke ke lokasi kebakaran diketuai Pegawai Kanan Bomba II, Kamaruddin Mustapha.

“Kebakaran berjaya dikawal 7.19 malam dan padam sepenuhnya 9.21 malam dengan satu rumah berkembar dua (milik Nik Sin dan Nik Asma) hangus sepenuhnya, manakala rumah Nik Anuar musnah 90 peratus.

“Punca sebenar dan jumlah kerugian akibat kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.

Disiarkan pada: March 29, 2019 @ 11:48pm
d