mutakhir

3 ditahan kes samun, menyamar polis

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

TIGA lelaki, termasuk seorang warga Bangladesh ditahan polis selepas dipercayai terbabit dalam kes samun berkawan dan melakukan ugutan dengan menyamar sebagai polis, Rabu lalu.

Difahamkan, dua daripada suspek warga tempatan ditahan polis antara 7 hingga 10 malam sebelum siasatan terhadap kedua-dua mereka berjaya menahan seorang lagi lelaki warga Bangladesh dipercayai turut terbabit.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, siasatan awal mendapati, dua suspek menyamun seorang warga Bangladesh di Pasar Simpang di Taiping, awal pagi Rabu lalu dengan memperkenalkan diri sebagai polis dan meminta pasportnya.

Katanya, ketika kejadian, mangsa memaklumkan kepada suspek bahawa pasport miliknya berada dengan majikan sebelum kedua-dua suspek menahannya dan membawanya ke Ipoh menaiki kereta jenis Nissan.

Menurutnya, dalam perjalanan ke Ipoh, kedua-dua suspek dipercayai turut mengambil wang sebanyak RM67 dalam poket seluar mangsa.

“Kira-kira 10.20 pagi, majikan mangsa yang juga seorang warga Bangladesh menghubungi mangsa, namun panggilan itu dijawab salah seorang suspek dan memberitahu dirinya bertugas sebagai polis di Ipoh.

“Suspek kemudiannya memberitahu sudah membawa mangsa ke Ipoh dan sekiranya tidak mahu mangsa ditahan, majikannya diminta membayar RM3,000, namun selepas rundingan suspek menurunkan bayaran kepada RM1,000,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Osman berkata, majikan mangsa kemudiannya memasukkan RM1,000 ke dalam akaun bank diberikan suspek dan menghantar bukti resit ke nombor telefon bimbit mangsa sebagai bukti.

Katanya, suspek kemudiannya meminta majikan mangsa mengambil mangsa di Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Taiping.

“Majikan mangsa kemudiannya mengambil mangsa di KTM Taiping 2 petang sebelum membuat laporan polis.

“Bertindak atas maklumat, polis berjaya menahan dua suspek warga tempatan dan hasil siasatan lanjut, polis menahan seorang lelaki warga Bangladesh yang dipercayai menyalurkan maklumat kepada suspek,” katanya.

Katanya, ketiga-tiga suspek direman selama empat hari sehingga Ahad ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 395, 385 dan 170 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: March 30, 2019 @ 12:32am
d