mutakhir

Penerbangan ihsan bawa pesakit Orang Asli

Oleh Ramli Ibrahim

UNIT Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan penerbangan ihsan menghantar pesakit Orang Asli yang demam panas ke Hospital Gua Musang (HGM) semalam.

Alem Aban, 56, tinggal di Kampung Jader, Pos Simpor yang turut menghidap asma dan batuk berpanjangan, terlantar di rumahnya sejak empat hari lalu.

Anak perempuannya, Shassa Chele, 12, berkata, ibunya sebelum ini sudah beberapa kali dimasukkan ke hospital kerana disyaki tibi.

“Selepas sembuh penyakit itu, ibu sering batuk dan diserang asma. Kini dia demam panas pula sehingga menggigil.

“Bimbang melihat keadaan ibu, saya memohon bantuan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) untuk menghantarnya ke hospital,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam, Unit Udara JBPM Pangkalan Subang, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Farhan Marzuki berkata, penerbangan itu berlepas pada 12 tengah hari.

Katanya, juruterbang, Penguasa Kanan 1 Bomba Roslan Aziz mengendalikan penerbangan menggunakan Agusta A109E dibantu beberapa lagi kru.

“Helikopter mendarat di Kampung Jader pada 1.25 tengah hari untuk mengambil pesakit terbabit dan tiba di pekarangan Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, 25 minit kemudian.

“Pesakit terus dikejarkan ke HGM dengan ambulans disediakan JBPM dan keadaannya dilaporkan stabil,” katanya.

Disiarkan pada: March 30, 2019 @ 11:39am
d