mutakhir

Kekalkan kemenangan untuk semak dan imbang

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Rizanizam Abdul Hamid

BARISAN Nasional (BN) perlu mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau bagi memainkan peranan ‘semak dan imbang’ kepada setiap keputusan dan dasar kerajaan negeri.

Calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, peranan itu penting untuk memastikan kerajaan kini tidak melakukan sesuatu keputusan yang menjejaskan rakyat.

Menurutnya, sepanjang tempoh berkempen, beliau akan bertemu dengan seramai mungkin pengundi walaupun sudah menjadi wakil rakyat di kawasan berkenaan selama tiga penggal.

“Di Rantau pelbagai pembangunan sudah dibawa ketika saya menjadi wakil rakyat. Walaupun sudah dikenali tapi saya tetap akan fokus turun padang bertemu pengundi.

“Tiada manifesto baru akan diperkenalkan kerana kita (BN) bukan kerajaan memerintah. Tapi saya akan berperanan dalam semak dan imbang kepada kerajaan negeri agar keputusan dibuat tidak menghimpit rakyat,” katanya ketika ditemui selepas diumumkan sebagai calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Rantau di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bandar Sri Sendayan, hari ini.

Beliau menjangkakan akan bersaing lebih daripada lima penjuru berdasarkan jumlah borang pencalonan yang dibeli lebih daripada itu.

“Saya yakin boleh menang sebab kita positif. Tapi selebihnya serah kepada Allah untuk tentukan,” katanya.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu menerima tentangan empat penjuru dari Pakatan Harapan (PH), Dr S Streram manakala calon bebas adalah bekas pensyarah, Mohd Nor Yassin dan suri rumah, R Malar.

DUN Rantau mempunyai seramai 20,926 orang pemilih berdaftar terdiri daripada 20,804 pengundi biasa, 118 pengundi awal dan empat pengundi tidak hadir luar negara.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Rantau
  • Disiarkan pada: March 30, 2019 @ 11:42am
    d