mutakhir

Padah cuba rasuah polis

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

PADAH mahu merasuah anggota polis RM20, lelaki Bangladesh ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan di Pekan Rembau, semalam.

Dalam kejadian jam 4.10 petang itu, suspek berusia 30 tahun menunggang motosikal LC 135 bersama rakan dalam keadaan melawan arus.

Sumber berkata, anggota polis menahan motosikal terbabit dan pemeriksaan mendapati suspek memiliki lesen.

“Polis mahu mengeluarkan saman kerana lelaki itu menunggang secara melulu namun suspek menawarkan RM20 untuk tidak diambil tindakan,” katanya.

Disebabkan itu lelaki terbabit dicekup lalu diserahkan kepada anggota SPRM.

Sumber itu berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009.

Di Mahkamah Khas Reman Seremban, hari ini, suspek direman tujuh hari sehingga Jumaat ini sebaik dikemukakan Pegawai Pendakwa SPRM Negeri Sembilan, Mohd Khairi Abdul Karim.

Permohonan reman dibenarkan Penolong Pendaftar Mahkamah, Nur Haryatie Mohd Saini

Disiarkan pada: March 30, 2019 @ 12:21pm
d