mutakhir

Imigresen serbu rumah sewa PATI

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

SERAMAI 100 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) Selangor di kawasan perumahan Jalan Mawar, Kampung Sungai Kayu Ara di Petaling Jaya, hari ini.

Pengarah Imigresen Selangor Mohamad Shukri Nawi berkata, operasi itu yang disertai 76 pegawai dan anggotanya, turut membabitkan empat pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Selangor, bermula 12.45 tengah malam hingga 2.30 pagi.

Katanya, pihaknya sebelum ini menerima aduan awam mengenai kawasan itu yang penuh PATI, sebelum risikan dilakukan.

“Kita memeriksa 180 warga asing dan daripada itu, 45 lelaki, 47 wanita, dan lapan kanak-kanak berusia antara satu tahun hingga 50-an ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

“Ketika serbuan, kebanyakan penghuni sedang nyenyak tidur. Pasukan operasi terpaksa mengetuk pintu rumah berulang kali sebelum pintu dibuka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Shukri berkata, 94 individu warganegara Indonesia, India (3), Pakistan (2) dan Kemboja (1).

“Semua yang ditahan dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasaan Imigresen sebelum dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Semenyih untuk siasatan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit sah dan Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal lebih masa.

“Kami juga giat mengesan pemilik yang menyewakan rumah atau premis mereka kepada PATI, malah mereka tidak terkecuali daripada dikenakan tindakan,” katanya.

Disiarkan pada: March 30, 2019 @ 5:29pm
d