mutakhir

Lelaki diugut dua 'polis'

Oleh Hazsyah Abdul Rahman

WANITA berdepan detik cemas selepas diperas ugut dua lelaki yang menyamar polis di hadapan sebuah kedai di Jalan Segama, Lahad Datu semalam.

Kejadian 9 pagi itu menyebabkan mangsa, 50, mengalami kerugian RM450 akibat diperas ugut kedua-duanya.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang mendakwa suspek menaiki Proton Saga lama hitam.

“Ketika kejadian mangsa dikatakan menuju ke seberang jalan untuk bersarapan. Ketika melintas jalan, tiba-tiba mangsa dihampiri Proton Saga.

“Seorang lelaki berbadan gempal keluar dari kereta dan memaksa mangsa masuk ke dalam kereta. Lelaki itu mengaku sebagai polis lalu membawa mangsa ke kawasan Pondok Polis Darvel,” katanya hari ini.

Nasri berkata, suspek kemudian mengugut mangsa untuk menyelesaikan masalah dokumen dengan membayar RM200.

“Mangsa kemudian ke bank berdekatan lalu mengeluarkan duit dan membuat pembayaran RM200 kepada suspek.

“Wang RM250 milik mangsa yang disimpan di dalam begnya turut diambil sebelum mangsa dilepaskan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya giat memburu kedua-dua suspek terbabit.

“Siasatan dibuat mengikut Seksyen 384/170 Kanun Keseksaan,” katanya.

Disiarkan pada: March 30, 2019 @ 6:38pm
d