mutakhir

Inisiatif Subuh Perdana, mengimarahkan masjid

Oleh Yusmizal Dolah Aling

JABATAN Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Masjid Khalid bin Al-Walid menganjurkan Subuh Perdana pagi esok bagi membudayakan solat secara jemaah sesuai dengan tuntutan agama.

Inisiatif Subuh Perdana itu dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

Pengarah JAWI, Mohd Ajib Ismail berkata, inisiatif berkenaan diambil bagi menyemarakkan konsep solat jemaah di masjid dalam Wilayah Persekutuan yang diketahui banyak fadilatnya kepada umat Islam.

Katanya, penganjuran kali pertama itu turut membabitkan pengisian lain antaranya kuliah subuh oleh Habib Ali Zainal Abidin serta solat dhuha.

“Kita mahu memakmur dan mengimarahkan masjid khususnya kepada penduduk setempat. Ia kali pertama diadakan dan kita akan teruskan pada masa akan datang.

“Tetamu istimewa pada siri pertama ini adalah Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ismail Bakar.

“Insya-Allah, siri berikutnya kita akan adakan di masjid lain di Wilayah Persekutuan dengan harapan ia akan diteruskan selepas itu,” katanya kepada wartawan Harian Metro.

Mohd Ajib berkata, bersesuaian dengan konsep Masjid RAHMAH, JAWI akan terus mempelbagaikan program dengan menjadikan masjid sebagai pusat sehenti kepada komuniti seperti mana peranan ketika zaman Rasulullah SAW.

“Ini juga satu pendekatan dakwah kepada masyarakat. Setiap hari kita bersolat, dan lebih bagus secara berjemaah.

“Ini yang cuba kita terapkan dalam program esok,” katanya.

Disiarkan pada: March 30, 2019 @ 8:25pm
d