mutakhir

1 maut, 3 cedera rempuh tembok stesen LRT

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

LELAKI maut, manakala tiga lagi parah selepas kereta dinaiki mereka terbabas di Jalan Lapangan Terbang Subang berhampiran stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Kelana Jaya, di Petaling Jaya, awal pagi hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 5 pagi itu, Norman Mansiu, 31, yang bekerja sebagai pelayan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala tiga rakan sekerjanya parah.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan itu daripada seorang wanita pada 5.24 pagi.

“Siasatan awal mendapati Perodua Viva dipandu mangsa hilang kawalan dan melanggar tembok stesen LRT di kiri jalan.

“Akibat pelanggaran itu, pemandu kereta terbabit disahkan maut di lokasi kejadian.

“Tiga lagi penumpang dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan lanjut.

“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik PPUM untuk bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Zani berkata, semua mangsa berasal dari Sabah dan ahli keluarga mereka sudah dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan itu diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Nazreen Nasharudindi talian 010 2105101 bagi membantu siasatan,” katanya.

Disiarkan pada: March 30, 2019 @ 9:34pm
d