mutakhir

Dua parah, kemalangan tiga kenderaan

Oleh Norizuan Shamsuddin

DUA lelaki parah dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 439.1 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan dari Sungai Buaya ke Rawang hari ini.

Dalam kejadian jam 3.50 petang itu, kemalangan membabitkan treler, lori sampah dan kenderaan pacuan empat roda menyebabkan kesesakan lalu lintas lebih 16 kilometer di laluan berkenaan.

Kejadian menyebabkan pemandu lori dan pemandu treler parah manakala mekanik yang memandu pacuan empat roda terbabit tidak mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, kejadian berlaku apabila lori sampah dipandu lelaki berusia 25 tahun mengalami kerosakan dan pemandu terbabit menghentikan kenderaan itu di lorong kecemasan.

Katanya, susulan kejadian syarikat lori sampah terbabit menghantar mekanik untuk membaiki kenderaan itu.

“Mekanik datang dengan menaiki pacuan empat roda dan meletakkan kenderaannya di hadapan lori berkenaan.

“Bagaimanapun, ketika lori sampah itu dibaiki treler dari arah belakang dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh bahagian belakang lori sampah.

“Kejadian menyebabkan lori sampah merempuh pacuan empat roda yang diparkir di hadapannya.

“Kemalangan itu menyebabkan dua pemandu kenderaan berat parah dan mereka dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut berhubung kejadian dilakukan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: March 30, 2019 @ 10:27pm
d